Baik Baik Sayang
Suatu petang nan sepi, diriku yang berada kejauhan darimu, didatangi
perasaan itu.
Apa khabar adikku ? Kakakmu ini kerinduan.
Dengarnya sudah masuk sekolah baru, dunia yang jauh sekali berbeza
dengan duniamu yang dulu. Benar kan ? Sekolah rendah dan sekolah
menengah manakan sama. Kudengar khabarmu dari mama tercinta.
Hajatnya mahu bercakap dengan dirimu, tapi Dia tak mengizinkan lagi
kerana kau masih perlu berdagang ilmu di sekolah berasrama itu.
Adik tidak berada di rumah. Adik masih berada di sana. Adik, demi Allah
tatkala mendengar suara mama tercinta berbicara tentangmu, aku bersyukur
sangat. Mama sangat ceria dan bahagia bercerita, dan sangat terasa
betapa Dia Maha Penyayang memilihmu dik. Ada ayat-ayat dari mama yang
menggentarkan jiwaku dik, "Kami mendengar adik membaca Quran, lenggok
dan gayanya dah berubah. Lagi sedap dari dulu dan bunyinya macam
orang-orang tahfiz mengaji..." Adik, boleh kubayangkan wajah mama
tatkala itu.. Wajah ketenangan yang seolah-olah tak pernah diusik oleh
riak resah kemashalatan.. Adik, nanti perdengarkan kepada kakak juga
iya? Mahu dengar juga bacaan penyejuk hati mama itu.. Adik, sekarang
kudengar bait-bait lagu ini. Lagu yang ditujukan pada kekasih, mungkin..
Tapi entah kenapa dik, bila kudengar saja lagu ini, aku teringatkanmu.
Dengar ya.. Baik-baik Sayang ~ Wali Band Aku tak ingin kau menangis
bersedih Sudahi air mata darimu Yang aku ingin erti hadir diriku Kan
menghapus dukamu sayang Kerna bagiku kau kehormatanku Dengarkan
dengarkan aku Hanya satu pintaku untukmu dan hidupmu Baik-baik sayang
ada aku untukmu Hanya satu pintaku di siang dan malammu Baik-baik sayang
kerna aku untukmu Adik,
seperti kebiasan orang yang terpaksa melindungi orang-orang bawahannya.
Heee.. Mana mungkin akan kubiarkan dirimu menangis dan bersedih. Tak
mahu adik bersedih, tak mahu adik menangis kerna ku tahu erti hadir
diriku padamu, dik. Sepertinya aku ini permaisurimu, bidadarimu,
kaptenmu.. Ringkas kata, aku idolamu. Pernah dulu, aku dipandang jelek,
tapi kau saja yang mengatakan aku comel. Pernah dulu, aku menghindarimu
kerana keletihan, lalu kau tunggu aku di luar bilik dan juga mengintaiku
di sebalik jendela bilikku. Pernah dulu, aku mengurungkan diri dan
menyeksa diri kerna mengalami gangguan jiwa lantaran penangan cinta
manusia, dan kau masih sama dik. Menungguku di luar bilik dan mengintai
keadaanku di sebalik jendela bilik. Dan senyumanmu sangat ikhlas
terukir. Senyuman yang mahu mengundang senyumanku. Senyuman yang
merayukan senyumanku. Lalu dengan separuh hati, ku terpaksa ukirkan juga
senyuman. Dan ajaibnya dik, senyumanmu makin berseri malah melebar.
Gembira bila kakak gembira iya? Walau masih kecil, kau mahu berlagak
besar. Seolah-olah mahu berkata, "Jangan bimbang kakak! Adik ada! "
Cinta apa yang kau hulurkan itu dik? Sungguh berbesar hati jika
kehadiranku bakal menghapuskan dukamu. Sesungguhnya aku tahu
kemampuanku. Aku tak sepertimu, cemerlang serba serbi. Aku, dari dulu
hanya murid biasa, pelajar biasa, dan mahasiswi biasa. Dari dulu hingga
sekarang pencapaianku biasa-biasa. Ingin aku katakan, kegembiraan
terulung mama dan abah adalah dari pencapaianmu dan juga pencapaian
kekandamu yang seorang lagi. Ada kerungsingan yang mengetuk hatiku suatu
tika dulu. Jika kalian berdua telah berada di atasku, adakah aku masih
kakakmu? Adakah aku masih kaptenmu? Tak kupinta harta yang bakal kalian
gapai. Tak kuminta kemasyhuran yang bakal kalian tempa. Hanya berikan
aku kehormatan yang selayaknya aku terima, kerna dari dulu cinta dan
kasihku pada kalian adalah benar, insyaallah. Hormatilah mama, abah
sentiasa dan hormatilah aku seadanya.. Dan buatlah semua itu kerana
menuntut keredhaan Dia. Hidupmu masih jauh dan masih panjang,
insyaallah. Di depan hari, bermacam cabaran yang terpaksa kau hadapi.
Masihkah aku ada untukmu bila tiba masa itu? Hanya dengan izin-Nya. Dari
dulu dan mungkin hingga sekarang, aku hanya mampu memberi sokongan
moral. Ingat ya.. Sampai satu masa, aku akan ketandusan solusi pada
permasalahanmu. Kata-kataku tidak lagi menjadi ubat penenang hatimu.
Senyumanku tidak lagi bakal menggembirakanmu. Kehadiranku tidak lagi
menjadi kebahagiaanmu. Walau realiti ini perit untuk ditelan, aku
pasrah.. Aku akan terusan mengalunkan rangkap ini dalam kebisuan..
Baik-baik sayang, kerna kau kehormatanku.. Semua keinginan akan aku
lakukan Sekuat semampuku sayang Kerna bagiku kau kehormatanku Dengarkan
dengarkan aku Hanya satu pintaku untukmu dan hidupmu Baik-baik sayang
ada aku untukmu Hanya satu pintaku di siang dan malammu Baik-baik sayang
kerna aku untukmu Baik-baik sayang, ada aku untukmu?
Betapa bahagianya aku, jika itu yang sentiasa berlaku. Namun dik, jika
semua dayaku telah kucurahkan untuk menolongmu, tapi Dia tak mengizinkan
apa-apa perubahan berlaku, maka sedarlah dik.. Bukan aku sebaik-baik
penolong! Aku ini hanya pinjaman. Pinjaman itu akan diambil satu hari
nanti. Umpama sebuah robot yang bertuan. Dan robot bakal kehabisan
bateri jika Tuannya mahu itu yang terjadi. Sesungguhnya Dialah
sebaik-baik penolong. Kehadiranku hanya dengan izin-Nya untuk
membantumu. Itupun dengan buah-buah pikiran yang telah Dia ilhamkan.
Maka bersyukurlah pada-Nya dik. Setiap kebaikan itu dari-Nya. Jika kau
bersedih atau kau gembira, maka cepat-cepatlah kembalikan hatimu
pada-Nya. Itu kurniaan-Nya, maka bersyukurlah, jangan leka.. Adik,
apalah sangat erti aku padamu jika dibandingkan erti Dia padamu? Apalah
sangat makna kasih sayangku padamu jika nak dibandingkan kasih
sayang-Nya padamu? Adik, sungguh banyak tanda-tanda kasih sayang-Nya
pada kita. Telitilah kisah-kisah para sahabat dan para tabi'in yang
bertaubat. Sungguh banyak dik.. Izinkan aku menceritakan padamu kisah
seorang tabi'in, Malik bin Dinar yang kukira sangat meyentuh hatiku..
Allah yang Maha Pemurah, menghadirkan rasa sakit bagi menyatakan rasa
sayang-Nya pada kita.. Sakit tu tarbiyyah dari Dia, perit tu panggilan
cinta Dia. Malik adalah seorang tabi'in dan terkenal darinya kerana
selalu menangis sepanjang malam sambil berkata,"Ya Rabbku, Kau
sendirilah yang tahu penghuni syurga dari penghuni neraka, lalu aku
termasuk yang mana? Ya Allah, jadikanlah aku penghuni syurga, dan jangan
Kau jadikan aku dari penghuni neraka." Di awal hidupnya, dia tidak
mempunyai ketakwaan seperti ini. Dia berkata,"Aku mulai hidupku dengan
sia-sia, banyak minum dan banyak berbuat maksiat. Aku berbuat zalim pada
manusia, aku makan hak orang lain, aku memakan riba, aku memukul
manusia, aku melakukan kezaliman. Tiada maksiat yang tidak kulakukan.
Aku sangat fajir sehingga manusia menjauhiku." Dia berkata lagi,"Tapi
suatu hari aku ingin menikah dan memiliki anak. Maka aku pun menikah dan
isteriku melahirkan anak yang kuberi nama Fatimah. Aku sangat
mencintainya. Setiap kali Fatimah bertambah besar, imanku pun bertambah
dan maksiatku berkurang. Mungkin Fatimah tahu kalau aku memegang botol
khamr (arak), lalu ia mendekat padaku, sehingga aku menjauhkan botol itu
darinya, sedang dia baru berusia dua tahun. Seakan Allah menjadikan dia
melakukan itu. Setiap kali Fatimah bertambah besar, imanku pun
bertambah. Dan semakin aku selangkah lebih dekat dengan Allah, maka aku
sedikit demi sedikit semakin jauh dari maksiat, hingga usia Fatimah
genap 3 tahun." "Ketika usianya 3 tahun, dia mati... Maka hidupku
berubah menjadi lebih buruk dari yang dahulu. Aku belum memiliki
kesabaran orang beriman yang menguatkanku menerima bala, sehingga
syaitan mempermainkanku. Sampai datang satu hari, maka syaitan
berkata,"Mabuklah kau yang mana kau belum pernah mabuk seperi itu
sebelumnya.." . Maka aku pun ingin mabuk, aku ingin minum Khamr,
sehingga aku minum sepanjang malam. Lalu aku bermimpi yang menebus
kesedaranku. Aku bermimpi melihat diriku pada hari kiamat. Ketika
matahari menjadi gelap, lautan berubah menjadi api, bumi bergoncang, dan
manusia berkumpul di hari kiamat, manusia berbondong-bondong, aku
bersama manusia, aku mendengar ada yang menyeru,"Fulan bin Fulan
kemarilah menghadap pada yang Maha Memaksa." Aku lihat wajah Fulan bin
Fulan itu berubah menjadi hitam kerana ketakutan. Sehingga aku mendengar
si penyeru itu memanggil Malik bin Dinar. Manusia di sekelilingku
hilang, seakan tidak ada orang di bumi Mahsyar itu. Lalu aku melihat
ular besar lagi ganas berjalan ke arahku sambil membuka mulutnya. Aku
pun lari ketakutan, hingga aku menemukan lelaki tua lagi lemah dan aku
berkata, "Tolonglah halau dari ular itu." Dia berkata,"Anakku, aku
lemah, aku tidak mampu menolongmu, tetapi larilah ke arah ini mungkin
kau akan selamat." Aku pun lari ke arah yang dia tunjukkan. Ular berada
di belakangku dan di depanku neraka. Maka aku pun berkata, "Apakah aku
akan lari dari ular dan jatuh ke neraka?" Aku pun segera kembali lari
dan ular semakin mendekat, aku kembali pada lelaki lemah itu sambil
berkata, "Selamatkanlah aku, tolonglah aku." Dia pun menangis kasihan
pada keadaanku, lalu berkata, "Aku lemah seperti yang kau lihat, aku
tidak mampu melakukan apa-apa, tetapi larilah ke gunung itu mungkin kau
akan selamat." Aku pun lari ke gunung dan ular akan menyambarku. Lalu
aku lihat puncak gunung itu anak-anak kecil, mereka berteriak, "Wahai
Fatimah, temuilah ayahmu! Temuilah ayahmu!" Aku pun tahu kalau itu
anakku. Aku senang anakku yang mati di usia 3 tahun menolongku,
mengambil tanganku dan mengusir ular itu dengan tangan kirinya, sedang
aku seperti mayat kerana takut. Lalu aku pun duduk di kamarku seperti
aku duduk di dunia, dan Fatimah berkata,"Wahai ayahku,'Belumkah datang
waktunya bagi orang-orang beriman, untuk tunduk hati mengingat Allah... '
(Al-Hadid: 16)". Aku bertanya,"Wahai anakku, beritahulah padaku tentang
ular itu!" Fatimah menjawab, "Itu adalah amalmu yang buruk, yang kau
besar-besarkan dan kembangkan, sehingga ia hampir memakanmu. Bukankah
kau tahu wahai ayahku, bahawa amal di dunia akan berubah memiliki jasad
di hari kiamat?" Aku bertanya lagi,"Dan lelaki lemah itu?". Fatimah
menjawab, "Itu amal solehmu. Kau lemahkan dia, sehingga dia menangis
melihat keadaanmu, dan tidak mampu melakukan sesuatu. Sekiranya kau
tidak melahirkan aku, dan aku mati ketika kecil tentu tidak ada yang
bermanfaat bagimu." Aku pun terbangun dari tidurku sambil
berteriak,"Telah datang, wahai Tuhanku... Telah datang, wahai Tuhanku...
�Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk
hati mereka mengingat Allah...' " Aku pun mandi dan keluar solat Subuh,
aku ingin taubat, kembali pada Allah. Ketika aku masuk masjid, sang imam
sedang membaca, " Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang
beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah... (Al-Hadid: 16) ".
Malik pun bertaubat sehingga dia terkenal setiap hari duduk di depan
masjid sambil berkata,"Wahai hamba yang bermaksiat, kembalilah pada
Majikanmu. Wahai hamba yang lalai, kembalilah pada Majikanmu. Wahai
hamba yang lari, kembalilah pada Majikanmu, Majikanmu menyerumu setiap
malam dan siang hari sambil berkata,'Siapa yang mendekat padaku
sejengkal, maka Aku akan mendekat padanya sehasta, lalu siapa yang
mendekat pada-Ku sehasta, maka Aku akan mendekat padanya satu depa, dan
siapa mendekat pada-Ku sambil berjalan, maka Aku akan mendekat pada-Nya
sambil berlari kecil'. " (HR. Bukhari dan Muslim)..." Subhanallah..
Setiap yang berlaku pasti dan tentu ada hikmahnya.. Percayakan Dia.
Sandarkan segala-galanya pada Dia. Sungguh Dia Maha Pengasih dan Maha
Penyayang padamu. Maka, apa arti hadir-Nya padamu dik? Aku tak ingin kau
menangis bersedih Sudahi air mata darimu Yang aku ingin erti hadir
diri-Nya Kan menghapus dukamu sayang Kerna bagiku kau kehormatanku
Dengarkan dengarkan aku Hanya satu pintaku untukmu dan hidupmu Baik-baik
sayang ada Dia untukmu Hanya satu pintaku di siang dan malammu
Baik-baik sayang kerna Dia untukmu Jagalah dirimu baik-baik sayang,
kerna kau kebangaan mama dan abah..
________________________________TAMAT________________________________


